MALAIKAT MAUT : TETAMU YANG KERAP
BERKUNJUNG
BETAPA kerapnya malaikat maut
melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70
kali.. Andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai
mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia
tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang
dilakukan oleh Malaikat Izrail.
Justeru itu, tidak hairanlah, jika
ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa,
seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam
hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak
memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula
melakukan dosa.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang
diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang
maksudnya :
“ Bahawa malaikat maut memerhati
wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang
merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka
berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus
oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok
dan bergelak ketawa.”
Manusia tidak akan sedar bahawa
dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh
yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar
terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis
Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai
hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.
Meski pun mata manusia hanya mampu
melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut
itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan
keyakinan iman dan ilmu.
Sebenarnya manusia itu sedar bahawa
setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian
dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggapkematian itu adalah suatu tabi’e
biasa sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan
kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa
banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh
peperangan, bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga
kemalangan samada diudara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.
Selain itu, mereka juga melihat
kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit
barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, taun dan sebagainya. Disebabkan
manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka
manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut
di atas. Jika berlaku kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya, “
sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?”.
Tidak ramai manusia yang mengaitkan
kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal
seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling
manusia, mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah
tamat.
Sesungguhnya malaikat maut
menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya
untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat
kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika
berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh
orang itu ketika kejadian tersebut.
Namun ajal tidak mengenal orang
yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai
kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu
sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka
kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.
Walau bagaimana pun, ada ketikanya
Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu ada
hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh
seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana
Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingati mati,
untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu,
membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan,
serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang muflis di
akhirat kelak.
Begitu juga orang yang mati
mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi
peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa berwaspada
dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan
meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba
pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.
Di kalangan orang solihin
menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda
bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan
meraka, jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran
terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab
itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang
itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika ada
amaran terlebih dahulu nescaya dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.
Selain itu, Allah Taala menjadikan
sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut,
sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang
panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan
dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk
bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah SWT iaitu
para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solihin.
Selain itu juga, malaikat maut mengadu
kepada tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia
mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan
orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang
tersayang di kalangan mereka.
Diriwayatkan bahawa Allah SWT
berjanji akan menjadikan berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui
oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan
mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila
berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana mengidap
sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan
malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.
Ketika itu, Izrail tidak perlu
bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran
malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau
sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah
tiba.
Namun pada hakikatnya bahawa ajal
itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya
telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang
ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas
seperti yang diamanahkan kepadanya.
Walau bagaimana pun adalah menjadi
hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu samada bersebab ataupun
tidak, sebagai mana yang dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya
malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi
malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat
maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu
tidak pernah mengenal samada seseorang yang sedang sakit atau pun ketika sihat
dan segar-bugar.
Firman Allah Taala yang bermaksud :
“ Tiap-tiap umat mempunyai ajal,
maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang
sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya. “
( Surah Al-A’raf ayat 34 )